Friday, December 24, 2010

The One with "Surat Utk Suami...."

Abang, suami yang disayangi,

Surat ini Zaujah tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar Abang dan Zaujah berjaya mengatasi apa jua halangan dalam perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini Zaujah terus yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah, Allah akan memberikannya.

Terlebih dahulu ingin Zaujah nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian yang telah berlaku sepanjang kita berumah tangga, Zaujah tetap menghormati Abang. Walaupun ada masanya sikap dan kata-kat Zaujah terlanjur dan terkasar, itu bukanlah kerana Zaujah sudah tidak  menghormati Abang apatah lagi membenci Abang… tetapi semua itu kerana terlalu sayang. Zaujah tidak mahu kehilangan diri Abangsebagai seorang suami.

Maafkan Zaujah. Zaujahlah yang lebih banyak bersalah dan tidak bijak menghadapi ujian rumah tangga ini. Sesungguhnya sejak dari dulu hingga sekarang Zaujah menagih pimpinan dan panduan Abang. Pimpinlah Zaujah untuk menjadi isteri yang solehah dan bakal ibu yang baik kepada anak-anak kita. Zaujah tidak mahu berpisah dengan semua kesayangan Zaujah ini. Oleh sebab itu Zaujah merayu agar Zaujah terus disayangi, dilindungi, dipercayai dan dipimpin untuk menjadi wanita yang benar-benar menjadi penyeri hidup seorang suami.

Kebahagiaan kita sekeluarga berada di tangan aband. Abanglah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga ini. Zaujah tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada Abang. Zaujah sedar apa yang akan ditanyakan Allah di Hari Akhirat kelak kepada seorang suami sebagai pemimpin jauh lebih berat dan sukar dijawab berbanding pertanyaan Allah kepada seorang isteri. Zaujah tahu tangung jawab Abang sangat berat. Jadi Zaujah sentiasa sedia dan setia berada di sisi Abang untuk sama-sama mengharungi kepayahan ini.

Marilah sama-sama kita insafi bahawa hakikatnya umur kita kian bertambah, upaya dan tenaga kita semakin kurang, tetapi perjalanan kita masih jauh dan beban kita semakin memberat. Amanah yang ada pun belum selesai kita tunaikan, apatah lagi untuk menambah beban yang baru. Zaujah bimbang… kita berdua akan kecundang.

Oleh sebab itulah Zaujah sering mengingatkan diri Zaujah dan diri Abang, marilah kita kembali menilai peranan dan tanggung jawab kita masing-masing. Zaujah sebagai seorang isteri dan Abang sebagai seorang suami… Marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kita telah melaksanakan amanah yang kita janjikan di hadapan Allah ketika kita mula bernikah dahulu?

Pernikahan disamakan dengan mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan perkahwinan dalam Islam. Ia bukan dibuat hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata. Jika itulah sahaja niat kita berkahwin, maka apakah yang membezakan manusia dengan haiwan? Tetapi sebaliknya, Islam meletakkan hubungan sah antara suami dan isteri sebagai suatu yang sangat tinggi dan suci.

Ia bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama berbakti kepada Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid… Di dalam masjid orang solat, berzikir, membaca Al Quran, mendengar tazkirah kuliah dan lain-lain ibadah.

Zaujah rindukan semua itu. Tetapi kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa bimbangan dari Abang. Zaujah lemah wahai suamiku. Pimpinlah Zaujah untuk mendapat kasih sayang Allah melalui aliran kasih sayang Abang. Abanglah harapan Zaujah. Zaujah hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai amanah kepada diri Abang untuk disayangi di dunia dan di akhirat. Janganlah disia-siakan amanah ini. Kelak buruk padahnya kepada Zaujah dan kepada Abang jua. Relakah Abang melihat Zaujah terkapa-kapa di dunia ini tanpa pimpinan? Dan di akhirat terhumban ke neraka yang penuh seksaan?

Abang,

Atas kebimbangan itu kekadang Zaujah jadi cemburu. Bila Zaujah lihat langkah dan sikap Abang sedikit terbabas, Zaujah menjadi sangat cemas. Bila Zaujah lihat Abang seakan-akan berubah, Zaujah menjadi sangat gelisah. Bukan kerana benci, tetapi kerana sayang. Mengapa tidak? Bukankah di tangan Abang kemudi rumah tangga ini.

Kesilapan dan kesalahan Abang sangat buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi, fahamilah hati isteri mu ini wahai suami… Curiga Zaujah bukan kerana prasangka. Cemburu Zaujah bukan kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal dan memperbudak-budakan. Tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa kebakaran yang memusnahkan selalunya berpunca hanya daripada percikan api!

Di antara kita adalah Allah. DIAlah zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Adil. Manusia tidak akan dapat mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan ketika. Kini Zaujah pasrah kepada Allah. Zaujah lelah dan kalah untuk meneliti dan memeriksa di seluruh penjuru. Zaujah tidak dapat mengawal hati Abang dan Abang juga tidak dapat mengawal hati Zaujah.

Hati kita berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini, Zaujah kini hanya fokus untuk memperbaiki diri. Zaujah ingin memperbaiki hubungan Zaujah dengan Allah dan memperbaiki hubungan Zaujah dengan sesama manusia. Zaujah yakin Allah tidak akan mengecewakan Zaujah. Dan Zaujah juga yakin Allah akan terus memberi kebaikan-Nya kepada Zaujah melalui Abang.

Marilah sama-sama kita perbaiki diri kita atas keyakinan rumah tangga ini perlu terus diselamatkan dan dimeriahkan. Jika benar itu masih menjadi harapan dan keyakinan kita, insya-Allah, pasti Allah akan tunjukkan jalan-jalan-Nya. Dalam hidup ini kita tidak boleh dapat semua perkara dalam satu masa. Bila kita mendapat sesuatu, pasti pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Jadi marilah sama-sama kita pastikan apa yang kita dapat lebih berharga dan lebih baik berbanding apa yang kita terpaksa lepaskan.

Oleh itu jika kita ingin mendapat rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa belajar ‘melepaskan’ perkara-perkara lain. Rumah tangga kita adalah keutamaan. Ia amanah Allah, harapan kita. Sebaliknya, segala kesukaan atau keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita korbankan demi membina kebahagiaan ini.Inilah pengorbanan.

Tanpa pengorbanan tidak akan ada kebahagiaan. Kita akan rela dan tega berkorban jika kita benar-benar inginkan rumah tangga ini berjaya. Jika tidak, kita terpaksalah mengorbankan rumah tangga ini… Apakah ini berbaloi? Tidakkah ini seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Atau mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan?

Abang,

Tipuan dunia dan godaan nafsu ini sangat memberangsangkan. Syaitan sentiasa menghias bibit-bibit dosa-dosa dengan segala keindahan dan kecantikan. Sekali kita terjerumus, payah untuk bebas kembali. Selagi yang diburu tidak tercapai, selagi itulah kita lelah mengejarnya. Tetapi setelah kita mendapat, ada yang lain pula datang menggoda. Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada itulah yang kita risaukan. Kita akan lesu kerana asyik memburu.

Mengejar nafsu itu bagai mengejar bayang-bayang. Dilihat ada tetapi apabila digenggam ia hilang… di hujung percarian itu pasti ada lesu dan jemu. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Padahal kematian itu boleh datang tiba-tiba. Relakah kita tertipu mengejar fatamorgana hanya kerana dari jauh ia kelihatan umpama air yang tergenang?

Zaujah mengingatkan diri Zaujah dan diri Abang kerana sayang. Zaujah selalu bertanya pada diri sendiri, relakah Zaujah mengorbankan rumah tangga ini hanya untuk mengejar sesuatu yang tidak pasti? Zaujah terpaksa melepaskan salah satunya. Dan insya-Allah, buat selamanya Zaujah lebih sanggup melepaskan apa dan sesiapa sahaja, asalkan jangan melepaskan kebahagiaan rumah tangga Zaujah. Itulah yang ada di hati Zaujah. Dan itulah jua yang Zaujah harapkan, doakan ada dalam hati

Abang.

Jika dalam surat ini ada kesedihan… ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan. Jika dalam surat ini ada teguran… itu bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat Zaujah dan buat Abang jua. Namun, Zaujah akui dalam surat ini terlalu banyak doa dan harapan. Doa Zaujah hanya pada Ilahi. Dan harapan Zaujah tetap untuk Abang. Jika air mata itu berkesan, nescaya akan tulis surat ini dengan air mata. Bukan air mata kecewa tetapi air mata harapan…

Zaujah harap Abang membaca surat ini dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula harapan dan cita-cita kita seawal kita memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma semula dalam bentuk baru jika kita berusaha untuk merealisasikannya. Dalam perkahwinan yang baik, seorang lelaki dan wanita sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki dirinya demi orang yang disayanginya.

Dan sekalipun dalam perkahwinan yang paling bermasalah, penawar yang mujarab adalah kebenaran. Menyatakan kebenaran kepada pasangan adalah kaedah terbaik untuk membuktikan cinta adalah lebih utama daripada satu pendustaan!

Mohon berundur dulu. Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi mereka tetap bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan belajar daripadanya… dan akhirnya melupakannya! Itulah Zaujah kini. Zaujah akuii kesilapan Zaujah dan Zaujah sedang memperbaikinya dan Zaujah ingin melupakannya…

Abang, Zaujah masih menaruh harapan. Insya-Allah, Abang masih sudi membantu Zaujah untuk itu! Amin.

Sumber Asal; Genta Rasa - Tragedi Cinta Isteri